Pedalaman Kelantan merupakan salah satu antara lokasi
ekopelancongan utama negeri pantai timur itu. Aktiviti paling popular adalah ekspedisi
menyusuri Sungai Nenggeri dari Kuala Betis hingga kepada Kampung Star
yang memakan jarak kira-kira 50 kilometer (km). Aktiviti berakit
diadakan secara dua peringkat bermula dari Gua Cha dan bermalam di
penempatan Orang Asli Pos Pulat. Peringkat kedua dari Pos Pulat ke
Kampung Star dengan jarak kira-kira 40 km. Ekspedisi akan membawa
peserta melewati 10 jeram yang mencabar kecekalan minda. Mereka yang mahu mencuba aktiviti lasak
ini boleh memulakan perjalanan dari Bandar Gua Musang ke Kampung Kuala
Betis sebelum berakit di Gua Cha.
Tiba di Gua Cha berhampiran Kuala Betis, anda dapat melihat tapak arkeologi paling penting di Semenanjung Malaysia. Namanya mungkin kurang dikenali, tetapi
di kalangan pengkaji sejarah, gua itu cukup penting kerana penemuan
pelbagai barangan dan rangka manusia dipercayai berusia kira-kira 1,000
tahun. Di Gua Cha, ada dua lagi gua dikenali
sebagai Gua Batu Kukup dan Batu Lindungan serta mempunyai kesan lubang
yang digali pengkaji selepas penemuan pelbagai jenis tembikar purba. Ada lebih 30 kesan peninggalan manusia
zaman Hoabinhian dan Neolitik di gua berkenaan di samping penemuan
tembikar purba pelbagai bentuk dan hiasan menarik.